Peninju berusia 18 tahun julang kejuaraan MIMMA - Stadium Malaysia
close
UFC

Peninju berusia 18 tahun julang kejuaraan MIMMA

14591732_1116646318370398_4189842087851551503_n

Peninju MMA muda dari Johor, Hayatun Najihin berjaya mencipta kejutan apabila menewaskan juara bertahan yang berusia dua kali ganda dari umurnya untuk merangkul kejuaraan kategori wanita dalam acara MIMMA4 yang berlangsung Sabtu lalu di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

Najihin yang berusia 18 tahun berjaya menewaskan juara bertahan Joanna Yap yang berusia 37 tahun sekaligus membawa pulang tali pinggang kejuaraan kategori wanita.

Joanna menerima kekalahannya kepada Najihin dan memuji aksi bertenaga anak muda itu.

“Saya rasa sangat penat tapi nasib baik kerana saya tidak mengalami kecederaan serius. Hayatun pihak lawan yang sukar, dan sangat bertenaga. Dia layak menang kejuaraan itu.”

Selain itu, satu lagi perlawanan menarik berlangsung di antara juara bertahan kategori Lightweight, Jace Law dari Sarawak menentang peserta MIMMA 4, Hui Keng Fai dari Selangor.

Perlawanan yang berlangsung sengit dengan kedua-dua peninju bertukar tumbukan dan tendangan kepada pihak lawan berakhir dengan kemenangan kepada Hui Keng Fai di pusingan terakhir.

“Saya rasa sangat kecewa, tetapi itu adat perlawanan. Saya sudah berikan yang terbaik, tetapi saya terperangkap di hujung perlawanan,” kata Jace kepada The Borneo Post selepas perlawanan.

Keng Fai, yang berjaya menunjukkan aksi bertenaga memberi pujian kepada pihak lawannya.

“Satu penghormatan buat saya kerana dapat menewaskan pihak lawan yang hebat. Terima kasih Jace kerana bukan sahaja memberikan satu pertarungan yang hebat, tetapi juga memberi peluang untuk saya belajar dan meningkatkan keupayaan diri.

Keng Fai dan Hayatun adalah dua daripada enam pemenang MIMMA baru – turut merampas kejuaraan daripada juara bertahan adalah Shaqueme Rock dari United Kingdom (Foreign Pride), Cheah Wen Khyn dari Kuala Lumpur (Featherweight), Damon Soo dari Kuala Lumpur (Bantamweight) dan Theeban Govindasamy juga dari Kuala Lumpur (Welterweight).

Juara bertahan yang berjaya mengekalkan kejuaraan mereka adalah Darren Low dari Sabah yang menewaskan wakil Sarawak Tsan Nieng Khai dalam kategori Heavyweight; Meeraj Omar dari Selangor yang menewaskan seorang lagi wakil Sarawak Bryant Tan dalam kategori Middleweight dan Seah Zhang Yu dari Pulau Pinang yang mengekalkan kejuaraan Flyweight selepas menundukkan wakil Sabah, Eddey Kalai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tunetalk Jason Lo berkata, semua pemenang mempunyai masa depan yang cerah untuk pergi lebih jauh dalam bidang MMA.

“Perjuangan mereka tidak terhenti di MIMMA – kita telah melihat juara-juara kami yang bergiat dalam arena MMA profesional seperti Agilan Thani, Keanu Subba dan Muhammad Aiman (kesemua beraksi dalam One FC),” kata Jason.

 

Tags : #MIMMA4BorneoHayatun NajihinHui Keng FaiJace LawJoanna YapJohorMIMMAMixed martial artsMMASarawak
Khairul Nizam

The author Khairul Nizam

A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.