Sukan Para Asean KL 2017: Kenali acara Bolasepak 5 sebelah (VI) - Stadium Malaysia
close
News

Sukan Para Asean KL 2017: Kenali acara Bolasepak 5 sebelah (VI)

Screen Shot 2017-09-12 at 10.14.46 AM

Jika semalam kita sudah mengenali bolasepak 7 sebelah (Cerebral Palsy), hari ini kita akan belajar mengenali satu lagi acara bolasepak Sukan Para Asean, bolasepak 5 sebelah VI (Visually Impaired).

Acara ini melibatkan pemain yang mempunyai masalah penglihatan dan seperti namanya, dimainkan oleh LIMA pemain bagi setiap pasukan.

Setiap pemain mempunyai kategori masing-masing iaitu B1, B2 dan B3. Klasifikasi pemain B1 adalah untuk pemain yang buta sementara bagi B2 dan B3 adalah untuk pemain yang boleh melihat tetapi mempunyai masalah penglihatan.

Malaysia merupakan juara bertahan Sukan Para Asean. Photo credit: Youtube Sport Singapore

Bolasepak 5 sebelah ini biasanya dimainkan di gelanggang yang tertutup dengan penghadang di bahagian tepi. Bola yang digunakan bersaiz 4 dan mempunyai loceng di dalamnya.

Peraturan bagi bolasepak 5 sebelah ini adalah lebih kurang sama dengan sukan futsal. Namun, setiap pemain kecuali penjaga gol perlu memakai penutup mata sepanjang permainan.

Penjaga gol tidak perlu memakai penutup mata, namun mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan mereka langsung.

Setiap pemain tidak boleh memegang bola tanpa pergerakan melebihi EMPAT saat.

Apa yang membezakan acara ini dengan sukan bolasepak yang lain adalah penonton perlu senyap sepanjang perlawanan (kecuali ketika pasukan kegemaran menjaringkan gol) kerana sebarang bunyi akan mengganggu konsenstrasi pemain yang perlu mendengar bunyi loceng di dalam bola dan arahan.

Setiap pasukan akan mempunyai tiga jurupandu arah bagi membantu pemain mengetahui kedudukan bola, gawang dan pemain pasukan lawan sepanjang permainan. Penjaga gol akan memberikan arahan di kawasan pertahanan, jurulatih di bahagian tengah dan seorang jurupandu di bahagian gawang lawan.

Bolasepak 5 sebelah ini biasanya berlangsung selama 50 minit yang dibahagikan kepada dua separuh masa. Jika perlawanan berakhir dengan keputusan seri selepas masa tambahan, penentuan sepakan penalti akan diadakan.

Malaysia merupakan juara bertahan acara ini selepas memenangi pingat emas di Sukan Para Asean 2015 yang berlangsung di Singapura.

Skuad bolasepak 5 sebelah Malaysia akan memulakan aksi dengan menentang Thailand pada 18 September ini pada pukul 8.30 pagi di Stadium Hoki Nasional, KL Sports City, Bukit Jalil.

Tags : KL 2017Sukan Para Asean
Khairul Nizam

The author Khairul Nizam

A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.