Sukan Para Asean KL 2017: Kenali Goalball - Stadium Malaysia
close
KL 2017

Sukan Para Asean KL 2017: Kenali Goalball

Screen Shot 2017-09-13 at 11.48.22 AM

Selepas dua acara yang menggunakan kaki, kini kita beralih ke satu acara yang menggunakan tangan pula.

Sama seperti bolasepak 5 sebelah, Goalball juga merupakan acara untuk pemain yang mempunyai masalah penglihatan. Ianya dimainkan oleh dua pasukan yang terdiri daripada tiga orang pemain dan menggunakan bola yang mempunyai loceng di dalamnya.

Acara ini agak mudah difahami kerana pemain perlu menggolek bola ke dalam gawang lawan dan pihak lawan perlu memastikan bola tidak masuk. Seperti permainan di antara dua penjaga gol bolasepak.

Setiap pasukan hanya dianggotai enam orang dengan tiga orang pemain dan tiga simpanan.

Perlawanan dibahagikan kepada dua separuh masa. Setiap separuh masa adalah selama 10 minit (12 minit di Sukan Paralimpik).

Jika perlawanan berakhir dengan keputusan seri, masa tambahan akan digunakan bagi mencari pemenang. Dan jika keputusan tetap berakhir seri, penentuan akan dilakukan menerusi ‘extra throw’ yang sama seperti penentuan sepakan penalti dalam bolasepak.

Begini cara Extra Throw dilakukan dalam sukan Goalball. Photo credit: Sport Singapore

Berbeza dengan bolasepak, penonton yang hadir ke acara Goalball perlu senyap sepanjang perlawanan supaya tidak mengganggu konsentrasi pemain yang perlu mendengar bunyi loceng daripada bola. Penonton boleh bersorak jika sebarang gol dihasilkan.

Goalball merupakan satu-satunya sukan yang hanya mempunyai satu klasifikasi untuk pemain. Namun, bagi memastikan perlawanan berjalan adil dan saksama, mata semua pemain yang beraksi akan ditutup.

Skuad Goalball lelaki Malaysia memenangi pingat perak di Sukan Para Asean 2015 Singapura.

Skuad Goalball lelaki dan wanita Malaysia akan memulakan kempen dengan menentang Laos pada hari Ahad ini di MiTEC.

Pasukan Goalball lelaki negara akan beraksi pada pukul 9 pagi sementara skuad wanita akan beraksi pada pukul 11.30 pagi.

Tags : GoalballKL 2017
Khairul Nizam

The author Khairul Nizam

A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.