Rayuan kepada semua penyokong bolasepak Malaysia, ayuh sokong skuad bolasepak CP kita! - Stadium Malaysia
close
Football

Rayuan kepada semua penyokong bolasepak Malaysia, ayuh sokong skuad bolasepak CP kita!

IMG_4121

Aku mengikuti perkembangan skuad bolasepak 7 sebelah Sukan Para Asean sejak bermulanya Sukan Para Asean kali ini. Sejak sebelum bermulanya Sukan Para Asean aku sudah mula cuba mengenali acara ini.

Sebagai seorang peminat sukan bolasepak, dan semestinya seorang penyokong bolasepak Malaysia, aku merasakan bahawa aku wajib mengambil tahu berkenaan skuad ini.

Aku mula mencari maklumat berkenaan mereka. Menggali semua maklumat yang aku tahu berkenaan mereka. Setakat dua kali acara Bolasepak CP dipertandingkan di Sukan Para Asean, Malaysia dua kali hampa dengan menduduki tempat keempat.

Bagi persiapan bagi Sukan Para Asean ini, yang aku tau persiapan kita agak baik. Skuad ini melakukan persiapan dengan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan ‘able body’ dan menang hampir kesemua perlawanan mereka.

Malaysia bermula garang dalam perlawanan pertama mereka. Menewaskan Singapura 5-3, pasukan yang menghampakan mereka dalam merangkul pingat gangsa di Sukan Para Asean 2015. Dalam perlawanan kedua, Malaysia membelasah Kemboja 12-0 dengan mudah. Kini tinggal juara bertahan,Thailand di separuh akhir dalam misi mereka mencari emas untuk negara.

Malangnya hajat mereka tersekat di separuh akhir. Dua kali mendahului Thailand, namun skuad Asnan Zuki tewas 3-2 selepas Thailand menjaringkan gol di masa tambahan.

Mereka juga rasa kecewa kerana tidak berjaya melangkah ke final.

Semua pemain terbaring kecewa di atas padang. Ada yang menangis teresak-esak kerana hampa tidak dapat menjulang nama negara di pentas final.

Mereka mungkin kelainan upaya, tetapi tiada yang lainnya mengenai semangat mereka untuk membanggakan negara. Mungkin lebih dari sebilangan dari kita. Mereka tidak mempunyai gaji yang berpuluh ribu. Mereka tiada kereta mahal untuk mereka tayang di media sosial. Yang mereka ada hanyalah hati dan semangat juang untuk Malaysia.

Siapa yang tidak sebak melihat bagaimana semua wira luar biasa ini menangis teresak-esak selepas tewas.

Sejak perlawanan pertama mereka, tidak ramai kelibat penonton Malaysia di Padang C, Majlis Sukan Negara Bukit Jalil. Bahkan, dalam perlawanan pertama mereka menentang Singapura, lebih ramai penyokong Singapura berbanding Malaysia di padang.

Kita sering mengungkap ayat bahawa “Bolasepak itu milik semua”, tapi kenapa dari sokongan kita bersikap memilih? Adakah mereka ini tidak layak untuk kita sokong? Mungkin juga kerana acara dimainkan di waktu pagi hari berkerja menjadi sebab untuk ramai antara kita tidak dapat hadir.

Esok mereka akan berjuang merebut gangsa. Jika menang, itu akan menjadi tonik buat mereka kerana mereka belum pernah merasa menang sebarang pingat dalam acara peringkat Para Asean. Tiada kilauan emas untuk dimenangi tidak menjadi alasan buat mereka untuk berjuang bermati-matian. Oleh sebab itu, tiada alasan juga untuk kita tidak hadir menyokong mereka esok, terutamanya kerana esok adalah cuti umum dan perlawanan akan berlangsung pada waktu petang.

Mereka tidak pernah menjadikan kelainan upaya mereka sebagai alasan untuk tidak memberikan sepenuh tenaga demi negara, jadi apa lagi alasan kita untuk tidak hadir esok? Tiada.

Tags : KL 2017Sukan Para Asean
Khairul Nizam

The author Khairul Nizam

A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.