Sukan Para Asean KL 2017: Kenali Acara Bolasepak 7 Sebelah (CP) - Stadium Malaysia
close
Football

Sukan Para Asean KL 2017: Kenali Acara Bolasepak 7 Sebelah (CP)

IMG_2679

Sempena Sukan Para Asean ini, marilah kita mengenali beberapa sukan yang akan dipertandingkan di temasya sukan para rantau Asean ini.

Pertama sekali, mari mengenali acara bolasepak 7 sebelah yang juga dikenali sebagai CP Football.

Acara bolasepak 7 sebelah ini dipertandingkan bagi pemain yang mempunyai cerebral palsy, pernah mengalami strok atau pernah mengalami kecederaan otak yang menyebabkan kelainan upaya.

Peraturan bagi Bolasepak CP adalah lebih kurang sama dengan peraturan FIFA, cuma dimainkan dengan Tujuh pemain. Padang dan gawang gol yang digunakan juga lebih kecil serta tiada offside dalam perlawanan bolasepak CP.

Setiap perlawanan dimainkan selama 60 minit dengan dua separuh masa. Setiap pasukan dibenarkan membuat tiga pertukaran pemain sepanjang perlawanan.

Pemain bolasepak CP terbahagi kepada empat kategori, berbeza mengikut tahap kelainan upaya mereka:

FT 5 – Mempunyai kesukaran bergerak di bahagian bawah badan (pinggang-kaki) dan kurang di bahagian atas badan (tangan dan bahu). Mempunyai kesukaran untuk berpusing dengan pantas.

FT 6- Mempunyai kesukaran bergerak di keempat-empat anggota badan. Biasanya mempunyai kawalan lebih baik dari FT 5 dan mampu menggunakan keempat-empat anggota badan ketika bermain. Pemain kelas 6 biasanya mempunyai masalah keseimbangan disebabkan keterbatasan pergerakan.

FT 7 – Hanya mempunyai kesukaran pergerakan hanya separuh badan. Biasanya kelainan upaya dapat dilihat ketika berlari. Pergerakan dapat dipertingkat menerusi latihan dan senaman. Namun, kadangkala akan ada keterbatasan pergerakan terutamanya yang melibatkan pergerakan pantas.

FT 8 – Kelainan upaya yang minimum dari segi pergerakan. Namun, tetap boleh dilihat ketika berlari, menukar arah dan membuat bentesan. Sukar dilihat ketika bermain, oleh sebab itu penilaian ketat dari segi perubatan dan teknikal dilakukan sebelum perlawanan.

Setiap pasukan wajib menurunkan sekurang kurangnya DUA pemain di dalam kategori FT 5 dan FT 6. Jika tidak cukup pemain FT 5 dan FT 6, pasukan tersebut perlu bermain kurang satu pemain. Cuma SATU pemain kategori FT 8 dibenarkan berada di atas padang dan bakinya adalah pemain kategori FT 7.

Malaysia akan beraksi menentang Singapura pada 18 September ini. Photo credit: Yahoo News Singapore

Itulah sedikit sebanyak penerangan mengenai Bolasepak CP yang akan dipertandingkan di Sukan Para Asean nanti.

Sukan Para Asean akan berlangsung pada 17-23 September nanti dan bagi acara bolasepak CP, ianya akan berlangsung di Padang C, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Skuad bolasepak CP Malaysia akan memulakan aksi menentang Singapura pada 18 September pukul 8.15 pagi.

Tags : Bolasepak CPKL 2017Sukan Para Asean
Khairul Nizam

The author Khairul Nizam

A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.