Malaysia vs Indonesia : 3 perkara yang perlu dilakukan penyokong Harimau Malaya - Stadium Malaysia
close
Football

Malaysia vs Indonesia : 3 perkara yang perlu dilakukan penyokong Harimau Malaya

Screen Shot 2017-08-17 at 3.11.25 PM

Malaysia vs Indonesia.

Perlawanan bolasepak di antara dua negara ini tidak pernah lekang dengan kontroversi.

Pastinya ramai yang ingat apabila pemain Malaysia perlu pulang dengan menaiki Barracuda ketika memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dengan menewaskan Indonesia yang menjadi tuan rumah.

Kini giliran Malaysia pula menjadi tuan rumah, dan kita akan bertemu musuh ketat kita di gelanggang sendiri.

Dengan pelbagai isu yang timbul, terutamanya berkenaan bendera terbalik di buku cenderamata ketika upacara perasmian Sukan SEA pada hari Sabtu yang lalu, pastinya Indonesia mahu menewaskan Malaysia dengan apa cara sekalipun.

Stadium Shah Alam bakal menjadi gelanggang pertempuran di antara Malaysia dan Indonesia. Stadium yang mampu memuatkan lebih kurang 80,000 orang itu akan dipenuhi penyokong Malaysia dan juga Indonesia.

Apa yang kita sebagai penyokong Malaysia boleh lakukan?

Pertama, kita wajib memenuhi Stadium Shah Alam dan memberikan sokongan padu kepada pemain-pemain Malaysia. Tunjukkan bahawa ini rumah kita dan jangan sekali suara kita tenggelam di sebalik sorakan penyokong lawan.

Berikan sokongan padu dan sentiasa berada di belakang pemain sebagai pemain ke-12. Photo credit: Facebook FAM

Berikan sokongan padu dan jangan pernah berhenti bersorak kepada pemain-pemain kita. Di saat ini, mereka benar-benar memerlukan kita. Jadilah pemain ke-12 yang mampu menaikkan semangat anak-anak muda yang berjuang untuk Malaysia ini.

Kedua, jangan dilayan provokasi dan jangan memulakan provokasi. Selepas pelbagai kecaman dan tuduhan yang kita terima, tunjukkan bahawa kita rakyat yang bertamadun. Rakyat Malaysia terkenal dengan adab dan sopan santun, inilah masanya untuk kita tunjukkan.

Jangan dilayan dan jangan mulakan provokasi. Semoga tiada insiden penyokong pihak lawan dipukul pada hari Sabtu ini. Photo credit: My news hub

Perlawanan menentang Indonesia tidak pernah tidak ‘panas’. Tunjukkan adab dan budi bahasa kita sebagai tuan rumah. Menang, kalah adat permainan. Semoga tiada insiden seperti perlawanan menentang Myanmar tempoh hari.

Ketiga, jangan buang sampah merata-rata. Ini penting sebenarnya. Anda makan, anda buanglah sampah itu. Walaupun sebelum ini viral mengenai beberapa penyokong yang secara sukarela mengutip sampah di stadium, kan lebih baik jika anda sendiri yang membuang sampah anda ke tong sampah.

Walaupun mereka sukarela mengutip sampah, jangan anda jadikan alasan untuk membuang sampah merata-rata. Photo credit: NST Online

Jika ada yang makan kuaci, buanglah di dalam tong sampah. Yang mahu merokok, tunggulah rehat separuh masa dan keluar sebentar untuk menghisap rokok.

Jadi itulah tiga perkara yang anda perlu lakukan untuk perlawanan hari Sabtu ini. Sarungkan jersi Malaysia dan mafla anda. Turun ke stadium. Sorak sepenuh hati. Kerana Sabtu ini, Harimau Malaya perlukan kita.

Tags : IndonesiaKL 2017Malaysia
Khairul Nizam

The author Khairul Nizam

A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.