Bali United dapatkan bekas pemain kebangsaan Belanda - Stadium MY
close
Football

Bali United dapatkan bekas pemain kebangsaan Belanda

VOETBAL-EK 2008-NEDERLAND VS ROEMENIE

Nampaknya kelab-kelab Liga 1 Indonesia masih sibuk mencari pemain berstatus marquee player walaupun musim sudah bermula.

Melihat kepada perkembangan semasa, semua pasukan mencari pemain berstatus marquee player yang berasal atau pernah beraksi bersama kelab-kelab di Eropah.

Bali United nampaknya mula merancang untuk membawa masuk pemain berstatus bintang untuk memperkuat pasukan mereka.

Bali United rancang bawa masuk bekas pemain PSV

Menurut pemilik Bali United, Pieter Tanuri, pasukan yang terkenal dengan jolokan Serdadu Tridatu itu akan membawa masuk bekas pemain kebangsaan Belanda bagi memperkuat pasukan.

Pieter berkata demikian ketika menghadiri majlis ulang tahun Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) di Jakarta pada hari Rabu lalu. Berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Pieter, ramai menjangka bekas pemain PSV Eindhoven, Orlando Engelaar akan dibawa masuk Bali United.

Memetik kenyataan Pieter seperti dilaporkan oleh Juara.net: “Kami sudah ada pilihan untuk pemain berstatus marquee player. Dia pernah bermain di divisyen tertinggi Liga Belanda.

”Sekarang kami masih dalam proses perbincangan dan tidak mahu mengumumkannya dahulu. Dia pemain yang memiliki ketinggian 190 cm, dan ini cadangan jurulatih.”

Berdasarkan apa yang dikatakan Pieter, nama Orlando Engelaar paling menepati ciri-ciri yang disebutkan. Engelaar yang memiliki ketinggian 196 cm pernah beraksi bersama FC Twente, Schalke 04, PSV dan kelab Australia, Melbourne Heart.

Pernah sertai pasukan kebangsaan ke Euro 2008

Pemain berusia 37 tahun itu juga pernah membuat 14 penampilan untuk skuad kebangsaan Belanda dan turut serta bersama skuad Oranje ke Piala Eropah 2008. Engelaar turut berada dalam senarai awal untuk menyertai pasukan kebangsaan ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, tetapi digugurkan oleh jurulatih ketika itu, Bert van Marwijck dari senarai akhir.

Bali United kini sudah mempunyai tiga pemain asing iaitu pemain pertahanan, Ahn Byung-koen (Korea Selatan) pemain tengah Marcos Flores (Argentina) dan penyerang Sylvano Comvalius (Belanda). Pemain tengah Indonesia, Irfan Bachdim turut beraksi bersama Bali United.

Dalam perlawanan pertama mereka, Bali United tewas 2-0 di tempat lawan kepada Madura United. Pemain berstatus marquee player Madura United, Peter Odemwingie menjaringkan satu gol dalam perlawanan tersebut menerusi sepakan penalti.

 

 

 

 

Tags : Bali UnitedIrfan BachdimLiga 1 IndonesiaOrlandon EngelaarPSVSchalke 04
Khairul Nizam

The author Khairul Nizam

A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.