Isu Chong Wei dan Frost selesai - Presiden BAM - Stadium Malaysia
close
Badminton

Isu Chong Wei dan Frost selesai – Presiden BAM

BAM / MOHAMED AL AMIN ABD MAJID

Semuanya sudah selesai.

Perseteruan yang berlaku di antara bintang badminton negara Lee Chong Wei dan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost sudah diselesaikan.

Begitulah yang dikatakan oleh presiden BAM, Tan Sri Mohd Al-Amin Abdul Majid kepada akhbar The Star.

Tan Sri Al-Amin yang telah berjumpa dengan Chong Wei dan Frost secara berasingan dan juga jurulatih perseorangan, Hendrawan serta pengurus besar Lawrence Chew pada dua hari yang lalu menyatakan semuanya sudah kembali pulih.

Memetik kata-katanya dalam akhbar The Star: “ Secara prinsipal, semuanya sudah selesai. Mereka semua tidak perlu dikumpulkan untuk mesyuarat. Chong Wei dan Frost akan meneruskan tugasan mereka. Semuanya kembali seperti biasa di pusat latihan.

“Semua pihak telah berjanji untuk melakukan kerja mereka secara profesional. Mereka tidak perlu menyukai antara satu sama lain. Situasi itu akan bertambah baik. Keadaan mungkin tidak 100% ideal, tapi kami lakukan apa yang terbaik.

“Apa yang Chong Wei luahkan mengenai Morten minggu ini telah kami terima. Suami isteri pun kadangkala bergaduh,” kata Al-Amin lagi.

“Chong Wei telah bermain dengan baik selama 18 tahun…tetapi dia perlu ingat bahawa selama ini, BAM telah memberikannya sistem yang baik untuk dia berada di tempatnya sekarang…dia tidak patut marah dengan kami.

“Apabila sudah sampai masanya untuk Chong Wei meninggalkan kami, kami akan memberikan perpisahan yang terbaik kerana dia layak untuk itu. Tetapi untuk sekarang, kami tidak mahu bercakap mengenai persaraannya kerana dia masih yang terbaik dan bersemangat untuk bermain. Fokus kami adalah untuk dia kembali beraksi.

Al-Amin turut menegaskan kepentingan komunikasi di antara pemain, jurulatih dan pengarah teknikal.

“Saya percaya bahawa mereka tidak berkomunikasi sepenuhnya.”

“Jurulatih perlu bercakap dengan Morten. Jika komunikasi tidak jelas, sebarang masalah boleh dibawa kepada jawatankuasa jurulatih dan latihan. Kemudian, ada saya.

“Selagi saya berkuasa, pemain dan jurulatih boleh percayakan saya. Kami akan cuba selesaikan.”

Masalah timbul sebelum ini apabila Lee Chong Wei mendakwa bahawa Frost tidak bertindak pantas apabila permintaannya untuk menukar permukaan gelanggang yang licin menyebabkan dia jatuh sehingga dia mengalami kecederaan lutut semasa berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

 

Tags : BadmintonBadminton MalaysiaBAMChong WeiHendrawanlawrence chewMorten Frosttan sri al amin
Khairul Nizam

The author Khairul Nizam

A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.