Football

Olivier Giroud mahu tinggalkan Arsenal Januari nanti

Photo Credit: footmercato.com

Dengan Piala Dunia bakal berlangsung pada tahun hadapan, tiada pemain yang tidak mahu beraksi untuk negara mereka. Jadi mereka akan lakukan apa sahaja untuk menunjukkan prestasi terbaik bagi merebut tempat ke Piala Dunia.

Namun, ianya agak sukar bagi seorang pemain untuk membuka mata jurulatih skuad kebangsaan mereka jika mereka sekadar memanaskan bangku simpanan.

Oleh sebab itu, pemain Arsenal, Olivier Giroud sudah merancang untuk meninggalkan The Gunners secara pinjaman pada bulan Januari nanti bagi memastikan dia mendapat tempat dalam skuad Perancis di Piala Dunia Russia 2018.

Giroud dilaporkan mahu meninggalkan Arsenal secara pinjaman tetapi tidak mahu berpindah keluar dari London kerana isterinya bakal melahirkan anak ketiga mereka.

Dua kelab London, West Ham dan Crystal Palace dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Giroud.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger sebelum ini dapat memujuk penyerang berusia 31 tahun itu untuk kekal di Stadium Emirates walaupun dia sudah bersedia untuk menyertai revolusi Everton pada jendela perpindahan yang lalu.

Dengan kedua-dua Palace dan West Ham dilihat kekurangan penyerang berkaliber, nampaknya David Moyes dan Roy Hodgson perlu bersaing hebat untuk mendapatkan Giroud pada Januari nanti.

Khairul Nizam
the authorKhairul Nizam
A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.

Leave a Reply