Football

Michael Carrick dilantik ketua pasukan Manchester United bagi musim hadapan

Photo credit: Manutd.com

Dalam permainan bolasepak, seorang ketua pasukan memainkan peranan penting untuk menjadi orang tengah kepada pengurus dan pasukan. Di dalam perlawanan, mereka akan menjadi orang tengah di antara pemain dan pengadil dan bertanggungjawab melindungi rakan sepasukannya.

Dalam sejarah, ada ramai ketua pasukan yang cukup terkenal bagi setiap pasukan, seperti Maldini untuk AC Milan, Puyol untuk Barcelona, Tony Adams untuk Arsenal, John Terry untuk Chelsea dan ramai lagi.

Bagi Manchester United pula, ketua pasukan mereka cukup terkenal. Dari Roy Keane, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic dan pada musim lalu, Wayne Rooney. Nampaknya selepas pemergian Wazza, United perlu melantik ketua pasukan baru.

Pemain yang dipilih bagi memakai lilitan tangan kapten bagi musim hadapan adalah Michael Carrick. Sekali lagi Manchester United bakal diketuai oleh pemain yang menyarung jersi nombor 16 selepas Roy Keane.

Manchester United mengumumkan perkara berkenaan menerusi laman web rasmi mereka, Manutd.com.

Bercakap kepada MUTV selepas sesi latihan skuad Red Devils di Los Angeles, Carrick menyatakan kebanggaannya untuk diberikan tugas sebagai ketua pasukan.

“Ianya satu perasaan yang bagus dan saya rasa ini merupakan penghormatan untuk saya mengetuai kelab sehebat ini.

”Ini tahun ke-12 saya dan saya datang ketika berusia 25 tahun. Saya tidak sangka saya akan berada di sini selama itu dan memenangi banyak piala.

“Sekarang, saya perlu mengetuai pasukan ini dan menjaga pemain muda, menjadi teladan kepada mereka, ianya perkara yang bagus. Saya datang ke kelab ini sebagai seorang pemain dan kini saya seorang penyokong tegar. Saya telah belajar mencintai kelab ini sepanjang berada di sini dan untuk memegang peranan ini ianya sungguh istimewa buat saya.”

Setakat ini, Manchester United baru sahaja mengumumkan ketua pasukan dan belum mengumumkan siapa bakal menjadi pembantu buat Carrick. Ura-ura menyatakan seorang lagi pemain tengah akan menjadi pembantu ketua pasukan dan pemain tersebut adalah Ander Herrera.

Melihat kepada peranan Carrick pada musim lalu dan jika United membawa masuk pemain tengah bertahan, kita mungkin melihat Carrick lebih berperanan sebagai ketua pasukan di luar padang.

Khairul Nizam
the authorKhairul Nizam
A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.

Leave a Reply