Football

Pemain muda Brisbane City mahu sarung jersi Indonesia

Photo credit: Tribunnews Pekanbaru

Jika tidak dapat menarik minat Nainggolan Itali, mungkin Nainggolan Australia berminat menyarung jersi Indonesia?

Itulah yang diharapkan oleh pemain Brisbane City FC, Samuel Nainggolan Sibatuara yang menyatakan hasratnya untuk menyarung jersi skuad Garuda suatu hari nanti walaupun tidak dibesarkan di Indonesia.

Samuel layak untuk bermain dengan pasukan Indonesia walaupun lahir di Australia kerana bapanya berasal dari Indonesia, sementara ibunya pula berasal dari Itali.

Dalam satu laporan media Indonesia, Juara, Samuel meluahkan hasratnya untuk menyarung jersi Indonesia.

“Saya tertarik untuk bermain di Indonesia dan semoga satu hari nanti saya dapat bermain untuk pasukan kebangsaan.”

Nampaknya, permintaan Samuel bakal terlaksana selepas dia menyatakan bahawa dia sudah beberapa kali dihubungi untuk memperkuat pasukan bawah 23 tahun Indonesia.

“Saya pernah dihubungi oleh skuad bawah 23 tahun pada empat bulan yang lalu. Namun setelah itu tiada perkembangan lanjut.”

Pemain berusia 21 tahun itu layak untuk bermain untuk pasukan Indonesia, Australia atau Itali tetapi menegaskan bahawa dia akan bermain untuk mana-mana negara yang menawarkan peluang untuknya dahulu.

Selain itu, Sammy juga berhasrat untuk bermain di Liga Indonesia suatu hari nanti.

“Saya teringin bermain di Asia, terutamanya di Indonesia. Saya menyukai bolasepak Indonesia. Saya menonton banyak pertandingan dan memiliki ramai rakan-rakan yang bermain di sana.”

Jika hasrat Sammy untuk menyarung jersi Indonesia, tercapai, kita mungkin bakal melihatnya beraksi di Sukan SEA Kuala Lumpur pada bulan Ogos nanti.

 

 

Khairul Nizam
the authorKhairul Nizam
A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.

Leave a Reply