Football

Kuala Lumpur dapatkan pemain import baru

Photo credit: Facebook Kuala Lumpur The City Boys

Semenjak jendela perpindahan pertengahan musim dibuka, semua pasukan mula menguatkan pasukan masing-masing.

Demi mencapai sasaran masing-masing, semua kelab berusaha untuk menguatkan pasukan sama ada dengan mendapatkan pemain tempatan baru atau pemain import.

Pertukaran jurulatih juga membuatkan sesetengah pasukan menukar pemain kerana pastinya setiap jurulatih mempunyai pemain yang mereka mahukan bagi membolehkan pasukan bermain mengikut coraknya.

Terbaru, pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur, telah mendapatkan pemain import baru dari Brazil.

Paulo Josue Stuurmer dos Reis atau lebih dikenali sebagai Paulo Josue menjadi pemain baru Kuala Lumpur. Kehadiran pemain berkenaan ke skuad City Boys itu diumumkan menerusi laman Facebook rasmi mereka, Kuala Lumpur The City Boys.

Pemain berusia 28 tahun dari Brazil itu menyertai Kuala Lumpur dari Clube Atlético Votuporanguense yang bermain di Campeonato Paulista Segunda Divisão, liga tangga keempat kejohanan bolasepak profesional daerah São Paulo, salah satu daripada kejohanan bolasepak daerah Brazil.

Sebelum ini Paulo Josue turut pernah beraksi untuk Juventude, São Bento dan Lajeadense di Brazil sebelum menyertai Dibba Al Hisn di Emiriah Arab Bersatu dan kembali ke Brazil dengan Votuporanguense.

Kehadiran Paulo Josue pastinya akan menyebabkan seorang pemain import yang sedia ada akan disingkirkan. Setakat ini, ura-ura mengatakan pemain tengah dari Mali, Modibo Konte akan dipinjamkan ke Perlis.

Kuala Lumpur kini berada di tangga ketiga Liga Perdana selepas menunjukkan aksi memberangsangkan di bawah kendalian Fabio Joaquim Da Silva yang menggantikan tempat Wanderley Junior.

Dalam perlawanan terakhir mereka, Kuala Lumpur telah membelasah ATM 6-0 dengan kesemua gol dijaringkan oleh penyerang Brazil, Guillherme De Paula.

Khairul Nizam
the authorKhairul Nizam
A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.

Leave a Reply