Football

Kuala Lumpur lantik bekas jurulatih Timor Leste sebagai pengendali baru pasukan

Photo credit: Facebook KLFA

Mario Gomez, Azmi Mohamed dan Karl-Heinz Weigang adalah tiga jurulatih yang telah meninggalkan pasukan masing-masing walaupun saingan liga Malaysia pusingan pertama belum berakhir.

Kini giliran Kuala Lumpur FA pula membuat pertukaran jurulatih apabila mereka menamatkan kontrak jurulatih mereka Wanderley Junior berikutan isu lesen kejurulatihannya.

Siapa pengganti?

Photo credit: Facebook KLFA

Melihat kepada laman Facebook rasmi, Kuala Lumpur telah melantik bekas jurulatih pasukan kebangsaan Timor Leste, Fabio Joaquim da Silva sebagai jurulatih baru pasukan.

Jurulatih berusia 39 tahun itu sebelum pernah beraksi untuk pasukan seperti Flamengo di Brazil, Zob Ahan di Iran sertai Bangkok Glass dan Sisaket FC di liga Thailand.

Sebelum ke Kuala Lumpur, pelatih dari Minas Gerais Brazil ini pernah melatih pasukan Bawah 23 tahun Timor Leste dan pasukan senior Timor Leste.

Di bawah kendalian Joaquim, Timor Leste berjaya mengikat pasukan Malaysia 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil dan hanya tewas 1-0 di tempat sendiri dalam peringkat kumpulan pusingan awal Kelayakan Piala Asia 2019 yang lalu.

Apa kata Wanderley?

Wanderley Junior, Jurulatih Kuala Lumpur FA

Wanderley Junior yang telah membawa skuad City Boys menduduki tempat keenam selepas mencatat tiga kemenangan dari tujuh perlawanan menerima nasibnya dan menyatakan itu perkara biasa dalam bolasepak.

Wanderley yang dihubungi berkata: “Itu perkara biasa, saya perlu mengikut peraturan yang telah ditetapkan. Tetapi saya akan segera mendapatkan surat dari Persekutuan Bolasepak Brazil (CBF) supaya saya dapat berkerja kembali sebagai jurulatih. “

Jurulatih yang pernah menjadi penolong jurulatih pasukan Royal Thai Navy FC itu berharap Kuala Lumpur akan berjaya ke Liga Super.

“Saya berharap Kuala Lumpur akan berjaya. Ini kerana KL mempunyai pemain muda yang bagus dan berkualiti dan mereka mampu membawa Kuala Lumpur mara ke Liga Super.”

Wanderley Junior sebelum ini berdepan masalah apabila lesen kejurulatihannya tidak mendapat pengiktirafan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Selain itu, dikhabarkan prestasi Kuala Lumpur yang tidak menentu juga dikatakan punca dia ditamatkan kontrak.

Kesimpulan

Kuala Lumpur pernah membuat kesilapan sebelum ini apabila melepaskan bekas jurulatih mereka Ricardo Formosinho yang kini bersama Jose Mourinho di Manchester United.

Selepas tujuh perlawanan dengan tiga kemenangan, dua seri, dan tewas dua kali kepada dua pasukan yang bermain di Liga Super musim lalu, rasanya alasan prestasi tidak menentu itu tidak sesuai. Namun, berikutan masalah lesen yang tidak mendapat pengiktirafan dan menyukarkan pasukan kerana jurulatih tidak boleh berada di bangku semasa perlawanan mungkin alasan paling kuat sekali.

Namun, apa yang mengelirukan adalah, tidakkah pihak pengurusan memeriksa dahulu lesen yang dimiliki oleh Wanderley sebelum melantiknya? Kenapa apabila liga sudah berjalan baru mereka sedar perkara ini? Jika pengurusan KL terus berkelakuan sebegini, masih lama lagi perlu peminat Kuala Lumpur tunggu untuk melihat skuad ibu kota kembali ke kancah Liga Super. Dan selagi pengurusan masih dengan cara sebegini, jangan harap penyokong akan membanjiri stadium untuk melihat Kuala Lumpur beraksi seperti zaman kegemilangan mereka dahulu.

Khairul Nizam
the authorKhairul Nizam
A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.

Leave a Reply