AthleticsOlympics

Pingat emas Olimpik Usain Bolt ditarik

Photo credit: REUTERS/Kai Pfaffenbach

Usain Bolt sebelum ini digelar pemenang ‘Treble Gold’untuk tiga pingat emas yang dimenangi di tiga temasya Sukan Olimpik berturut-turut bermula di Beijing pada tahun 2008. Namun perkembangan terbaru ini menyaksikan dia hanya boleh digelar Double Gold selepas pingat emas acara 4x100m yang dimenangi kuartet Jamaica ditarik balik.

Namun, bukan Usain punca pingat emas itu ditarik, tetapi rakan sepasukannya Nesta Carter yang bersalah apabila dia didapati positif menggunakan bahan terlarang dan menyebabkan kuartet emas Jamaica di Sukan Olimpik Beijing akan kehilangan gelaran mereka.

Carter merupakan pelari pertama kuartet 4x100m Jamaica ketika beraksi di pusingan akhir Sukan Olimpik Beijing sembilan tahun lalu ketika Jamaica muncul juara dan memecahkan rekod dunia (37.10s) sekaligus membantu Usain Bolt mencipta kejutan menyapu bersih pingat emas acara pecut dalam Sukan Olimpik pertamanya.

Walaupun Carter tidak beraksi Rio, namun Majlis Olimpik Antarabangsa telah mengesahkan bahawa dia telah diuji positif menggunakan bahan terlarang methylhexaneamine

Kesemua pelari acara 4×100 meter Jamaica – termasuk Michael Frater dan Asafa Powell – kini telah dilucutkan pingat emas mereka yang dimenangi di Sukan Olimpik Beijing 2008, sekaligus merosakkan rekod sempurna Usain Bolt yang memenangi pingat emas acara 100m, 200m, dan 4x100m dalam tiga temasya Olimpik berturut-turut.

Pemenang pingat gangsa, Trinidad dan Tobago akan menjadi juara baru, diikuti Jepun sebagai pemenang pingat perak dan kuartet Brazil memenangi gangsa. Bolt mungkin akan kehilangan lebih banyak pingat jika sampel ujian Carter yang lain turut diuji positif.

Bercakap pada musim panas lalu, Bolt menyatakan bahawa dia tidak mempunyai masalah untuk memulangkan pingat jika ujian positif itu disahkan.

“Ianya mengecewakan kerana kami telah berkerja keras untuk mendapatkan pingat emas dan gelaran juara…tetapi itulah kehidpan,” kata Bolt.

“Banyak perkara berlaku dalam kehidupan, maka apabila ianya telah disahkan, saya akan memulangkan pingat emas itu, saya tiada masalah.”

Khairul Nizam
the authorKhairul Nizam
A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.

Leave a Reply