Olympics

Alibaba jadi penaja utama Sukan Olimpik

Photo credit: Kiyoshi Ota/Bloomberg

Syarikat E-Dagang China Alibaba sah menjadi penaja utama untuk Sukan Olimpik.

Syarikat berkenaan telah menandatangani perjanjian bersama Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) sehingga 2028.

Alibaba akan menjadi rakan e-dagang rasmi Sukan Olimpik dan menyertai syarikat seperti Coca Cola dan McDonalds sebagai penaja terbesar Sukan Olimpik.

Tiada butir-butir kewangan yang diumumkan namun sumber IOC memberitahu Reuters bahawa penaja utama akan membayar sebanyak 100 juta USD dalam tempoh empat tahun, di mana ianya melibatkan satu acara musim panas dan satu acara musim sejuk.

Perjanjian bersama Alibaba itu berlaku ketika Asia bersedia untuk menjadi tuan rumah bagi tiga acara berturut-turut iaitu Sukan Olimpik musim sejuk 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan, diikuti Sukan Olimpik musim panas 2020 di Tokyo, Jepun dan diakhiri dengan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijung, China.

Menurut Presiden IOC, Thomas Bach seperti dipetik dari Reuters: “Ini merupakan berita besar, penggabungan inovatif, dan akan membantu kecekapan dalam organisasi Sukan Olimpik sehingga 2028.”

Jack Ma, Pengerusi Eksekutif Alibaba berkata dalam satu sidang media: “Ini merupakan satu usahasasama bersejarah dalam dunia digital. Ianya akan mengubah Sukan Olimpik di dunia.

“Kami berkongsi visi dan nilai yang sama dengan IOC. Alibaba mampu membawa banyak kualiti kepada Olimpik dengan teknologi ‘cloud’.

“Kami ditubuhkan di China, tapi dibentuk untuk dunia.”

Perjanjian ini turut melibatkan Sukan Olimpik 2024, dengan Los Angeles, Paris dan Budapest sedang membida hak menjadi tuan rumah dan IOC akan memilih tuan rumah pada bulan September nanti. Proses pembidaan bagi Sukan Olimpik 2026 dan 2028 yang terkandung dalam perjanjian, masih belum bermula.

Khairul Nizam
the authorKhairul Nizam
A sports and travels enthusiast with a passion for writing. He wishes to see his beloved Kuala Lumpur side to win the domestic treble one day.

Leave a Reply